Wednesday, November 11, 2009

DAH DIJANGKA...HOKI BERTAMBAH TERUK

Seperti yang ditulis di dalam blog ini terdahulu, hoki Malaysia bertambah malap, apatah lagi tewas di tangan New Zealand 4-2 satu keputusan yang telah dijangka. Yang membuat aku geram sangat, kenapa wartawan sukan kita ini terlalu menakut2kan skuad negara akan kehebatan lawan kita selepas ini iaitu China. Adakah memang sekarang ini , rekod kita dengan pasukan China teruk?? Dahulu pada tahun 80an kita berada satu kelas dengan Pakistan dan India di benua Asia. Selepas Sukan Olimpik di Korea pada tahun 1988, Korea mula muncul sebagai satu kuasa besar hoki yang baru. Sekarang ini muncul pula Jepun dan China. Apa dah jadi dengan hoki Malaysia?? Adakah pasukan Jepun dan China bertambah baik ataupun pasukan hoki Malaysia makin ke belakang? Jawapannya adalah:

1) Tukarkan sahaja kepimpinan Persekutuan Hoki Malaysia terutama Presiden yang kita tahu tidak mempunyai rekod yang baik sewaktu memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia. Adakah Malaysia ketandusan pemimpin2 sukan yang berwibawa seperti Datuk Nadzmi dari Persatuan Badminton Malaysia?

2) Wartawan sukan maupun Editor perlu lebih jujur untuk memajukan sukan. Kita tidak nampak dimana kritikan tajam mereka terhadap persatuan-persatuan sukan yang dipimpin oleh kerabat Diraja ini. Tidakkah mereka tahu bahawa kritikan yang dilemparkan itu akan memajukan sukan negara untuk jangkamasa yang panjang dan bukan mengritik singgahsana Raja kita.

Selagi tiada kejujuran dan kesungguhan di kalangan pemimpin persatuan sukan terutama dari golongan kerabat dan juga wartawan sukan, selagi itulah sukan kita di tahap yang mengecewakan.

Petikan dari Utusan Malaysia hari ini:

Harapan hoki kita semakin tipis ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR - Harapan skuad kebangsaan untuk layak ke pusingan akhir hoki Piala Dunia tahun depan semakin tipis apabila tunduk 2-4 kepada tuan rumah pada perlawanan ketiga pusingan kelayakan di Invercargill, New Zealand, semalam.

Walaupun masih ada baki dua perlawanan, kekalahan tersebut menyempitkan peluang untuk layak menyertai kejohanan di India tahun depan apabila berdepan misi sukar menundukkan China pada perlawanan terakhir kumpulan, Sabtu ini.

China di ranking ke-13 dunia, berbanding ranking ke-16 skuad negara, menang kesemua tiga perlawanan dan hanya dipisahkan dengan pendahulu, New Zealand menerusi perbezaan gol.

Namun, sebelum itu berdepan China, skuad bimbingan Tai Beng Hai perlu memastikan kemenangan ke atas Scotland, esok.

Pada masa yang sama, skuad kebangsaan perlu mengharapkan China tunduk kepada New Zealand apabila kedua-dua pasukan turut berentap, esok.

Selepas tiga perlawanan, skuad kebangsaan mengumpul empat mata, lima mata di belakang New Zealand dan China.

Hanya pasukan yang muncul juara akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia di India tahun depan.

Jurulatih negara, Tai Beng Hai berkata, beberapa keputusan pengadil perlawanan disifatkan tidak memihak kepada skuad kebangsaan.

''Kami banyak melancarkan serangan ketika kedudukan 2-2 tetapi keputusan pengadil agak mengecewakan dan ini menjejaskan rentak permainan kita,'' katanya.

Pada perlawanan semalam, pasukan tuan rumah mendahului dua gol menerusi jaringan pukulan sudut penalti Ryan Archibald pada minit keenam dan jaringan padang Phillip Burrows pada minit ke-10.

Skuad kebangsaan kembali mengimbangi permainan apabila menyamakan kedudukan menerusi Azlan Misron pada minit ke-30 dan Faisal Saari pada minit ke-44.

Namun, cabaran pasukan kebangsaan beraksi apabila New Zealand terus di depan menerusi jaringan Hayden Shaw dan Simon Child masing-masing pada minit ke-52 dan ke-62.

Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan China mengalahkan Wales 2-1 dan Scotland menewaskan Austria 3-2.

No comments: