Monday, November 30, 2009

KEMBALIKAN ERA SEMI PRO ATAU AMATUR


Bila kita melihat kedudukan kewangan pasukan2 negeri dan tidak berkemampuan mereka untuk menghadapi Liga Malaysia, maka ada benarnya jika kita mengambil langkah ke belakang dengan mengembalikan era semi pro atau amatur sahaja. Sekurang2nya pemain2 ini ada pekerjaan tetap dan tidak hanya bergantung kepada belas ihsan FA Negeri untuk membayar gaji mereka. Di zaman 70an dahulu, ada pemain2 yang bekerja sebagai juruteknik, meter reader, guru, pegawai maupun pelajar universiti. Mereka hanya mendapat elaun latihan dan perlawanan. Maka fokus mereka ada pada perlawanan apatah lagi mungkin sukar dihampiri bookies perlawanan. Pada masa sekarang , dengan bebanan kewangan yang meruncing, pemain2 terpaksa bermain tanpa tumpuan. Fikiran teringat kepada dapur yang tidak berasap, susu anak dan kereta yang dah beberapa bulan tak berbayar. Ini memudahkan bookies menghampiri mereka.

Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa pada musim hadapan 2010, Liga Malaysia mungkin akan sepi terutama pada bulan Jun nanti kerana adanya Piala Dunia 2010. Maka bertambah kosonglah kantung FA negeri yang mengharapkan kutipan tiket untuk menjana kewangan mereka.

Cuba kita congak untuk setiap pasukan, andaikata hanya ada 20 perlawanan Liga Malaysia, 4 perlawanan Piala FA ( andaikan tersingkir pusingan ke 2 ) dan 6 perlawanan Piala Malaysia ( tersingkir di pusingan awal ), maka jumlah perlawanan hanyalah 30 sahaja iaitu 15 sebagai tuanrumah dan 15 di tempat lawan.

Untuk pengiraan kutipan ini, kita mengambil 100% pungutan tiket untuk bermain di tempat sendiri sahaja kerana pada hakikatnya ada peratusan yang diberi kepada pasukan pelawat. Purata penonton yang menyaksikan setiap perlawanan katakan 5,000 orang maka untuk 15 perlawanan di tempat sendiri jumlahnya adalah 75,000 penonton. Harga tiket, kita andaikan RM12 maka jumlah pungutan sepanjang musim hanyalah RM900,000 sahaja!!! Mana nak cukup bayar gaji pemain, sewa stadium. tambang perjalanan bermain di tempat lawan . Paling kurang setiap FA memerlukan RM2 juta untuk kos operasi ini!! Itulah sebabnya adalah tanggungjawab Presiden FA negeri menjana dan memastikan keuntungan pada persatuan. Presiden FA Negeri ini ibarat CEO bagi satu organisasi, yang akan dipecat jika berlaku kerugian pada sesuatu syarikat. Maka sekarang ini akan ramailah Prseiden2 FA Negeri yang patut berundur kerana kedudukan kewangan yang tenat di FA yang mereka terajui.

Oleh itu untuk mengurangkan beban kewangan , maka eloklah dikembalikan zaman semi pro ataupun era amatur di Liga Malaysia.

AKADEMI BOLASEPAK PKNS FC JUARA SULUNG LIGA BAWAH 11 KEBANGSAAN!!


GAMBAR DI PETIK DARI BLOG NATIONAL JUNIOR COMMUNITY LEAGUE WEBSITE

Tahniah Akademi Bolasepak PKNS FC kerana menjadi juara sulung Liga Remaja Komuniti Kebangsaan Bawah 11 tahun Piala Sultan Ahmad Shah. Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium MBPJ pada 28hb November yang lalu menemukan 2 musuh utama Lembah Kelang iaitu PKNS FC dan MBPJ. Berkesudahan PKNS 2 MBPJ 1. PKNS FC membolot hadiah RM10,000 dan 3 hadiah iaitu Mohd Adib Hakimy untuk Man of The Match, Mior Dani Armin - Best Player of the League dan Penjaring Terbanyak Liga dengan 25 gol Shafizi Ikmal .

Liga yang dianjurkan bersama dengan FAM berlangsung selama hampir 5 bulan dengan disertai 24 pasukan. Untuk lapuran perlawanan yang lebih terperinci, sila ke web liga ini di http://www.jrleague-malaysia.com/index.php?option=com_content&view=article&id=136:akademi-pkns-are-junior-league-champions&catid=34:general-nojcfl09

Tahniah pengurusan Akademi Bolaspak PKNS dan Tahniah Penganjur Liga. Akademi Bolasepak PKNS merupakan satu kelab yang mempunyai pengurusan yang cekap sebagaimana yang aku tulis di dalam artikel terdahulu http://cakap2bola-cakap2bola.blogspot.com/2009/05/akademi-bolasepak-pkns-fc.html .

Sunday, November 29, 2009

PASUKAN NEGERI PERLU MENILAI KEMAMPUAN KEWANGAN SEBELUM KE LIGA MALAYSIA 2010

Setelah meneliti perkembangan pasukan2 seperti Perak dan Pahang yang beriya2 nak menyertai Liga Malaysia yang mana pasukan2 ini mempunyai hutang yang terlalu banyak contohnya Perak, hutang tertunggak sejak beberapa tahun , zaman Perak mempunyai pemain impot. Kemudian dipolitikkan isu ini, seolah2 peminat sukan ini tak pandai membaca dan mengetahui sejarah. Cuba kita baca artikel dari Kosmo hari ini.

PAFA masih berhutang

CEK berjumlah RM272,000 yang diserahkan Exco Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Perak, Zainol Fadzi Paharudin kepada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kelmarin sebenarnya hanya untuk tunggakan gaji lima pemain dan seorang jurulatih.

Demikian jelas salah seorang bekas pemain Perak, Hamsani Ahmad yang kini merupakan penjaga gol skuad Liga Super Selangor.

Menurut Hamsani, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sepatutnya tidak dibenarkan untuk beraksi dalam Liga Malaysia 2010 kerana mereka sebenarnya masih berhutang dengan beberapa pemain Perak yang lain untuk musim 2008 itu.

"Sebenarnya RM272,000 itu hanyalah untuk bayar tunggakan gaji kepada Steve Darby (bekas jurulatih Perak), Hardi Jaafar, S. Subramaniam serta tiga pemain import, Carlos Caceres, Mario Esteban dan Jorge Munoz.

"Ini kerana, mereka ini membuat aduan terus kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menerusi bantuan Darby.

"Kami pemain-pemain yang lain turut juga menulis surat aduan tetapi hanya kepada FAM.

"Jadi saya berasa kecewa kerana jika PAFA dibenar beraksi untuk liga musim depan, sudah pasti sampai bila-bila PAFA tidak akan bayar tunggakan gaji kami itu," kata Hamsani kepada Kosmo! semalam.

Jelas Hamsani, baki kira-kira 20 pemain yang beraksi untuk Perak pada musim 2008 itu masih belum menerima tunggakan gaji mereka selama empat bulan.

FAM telah menetapkan syarat supaya segala hutang termasuk tunggakan gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu diselesaikan pasukan yang berkenaan sebelum 12 tengah hari Isnin ini.


Kemudian, aku baca pula perihal pasukan Pahang ni. Yg Presidennya beriya2 nak kan Pahang ke Liga Super sedangkan nasib pemain2 dibawahnya beberapa kali gaji tertunggak.Semuga Pahang FA melupakan hasrat menyertai Liga Malaysia tahun hadapan jika kantung kewangan mereka nazak kerana sejarah akan berulang dengan gaji pemain2 tidak akan berbayar. Memanglah Pahang FA akan membayar tunggakan caruman kepada KWSP dan Perkeso, bagaimana pula gaji yang tertunggak??

Sedih aku melihat pasukan Pahang ini. Pahang FA perlu memilih Presiden yang lebih berwibawa, Presiden sekarang perlulah berundur demi masa depan pasukan bolasepak negeri Pahang ini. Sbgmana aku katakan dlm artikel aku terdahulu. Jurulatih2 Pahang hanyalah berkisar dari Dollah Salleh, Zainal Abdin Hassan dan Tajudin Noor. Pusing2 tang tu. Kesian kat Dollah, beliau merupakan jurulatih yang berkaliber dan berwibawa..Baca artikel dari Metro Ahad tentang pasukan Pahang hari ini.

KHIDMAT Dollah Salleh sebagai jurulatih Pahang bagi menghadapi saingan Liga M musim depan, masih ditagih Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Namun, Setiausaha PBNP, Ahmad Nazri Mat Noor berkata PBNP menunggu lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status skuad itu musim depan.

Menurutnya, segala-galanya kini terserah kepada budibicara FAM kerana khidmat Dollah masih diperlukan dalam usaha mengembalikan imej bola sepak negeri yang terjejas apabila gagal mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super.

“Setakat ini, kami tidak dapat memberi kata putus kerana menunggu keputusan rasmi FAM sama ada Pahang diizin beraksi musim depan atau sebaliknya.

“Surat rayuan berserta segala tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah diselesaikan,” katanya, semalam.

Berdasarkan pencapaian musim ini, Pahang menduduki tangga ke-13 daripada 14 pasukan, sekaligus bakal beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Dalam saingan Piala Malaysia pula, Pahang sekadar mencabar pada pusingan awal.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Nazri berkata beberapa pemain baru mungkin diserapkan.

Beliau difahamkan, Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mahu memastikan Pahang kembali beraksi dalam saingan divisyen utama.

“Namun, segala keputusan akan dapat dilaksanakan apabila mendapat lampu hijau daripada FAM,” katanya.

Saturday, November 28, 2009

UMUR BUKAN ALASAN


USAH JADIKAN UMUR SEBAGAI ALASAN. Tajuk Berita Minggu hari ini yang memetik kata2 pengurus Arsenal Arsene Wenger tentang pasukan Arsenalnya. Inilah kata2 yang kita hendak dari FAM mahupun mana2 jurulatih negara kita. Telah aku tulis di dalam artikel aku terdahulu bahawa alasan umur selalu sahaja diberi jika pasukan negara mengalami kekalahan. Maknanya Arsene Wenger pun berfikiran cam aku, cuma kepala2 di dalam FAM mahupun Rajagobal sahaja yang selalunya mencari alasan.....Bila nak matang pun aku tak tahu....So bacalah kata2 Arsene Wenger ni yang aku petik dari Berita Minggu Online...

LONDON: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger memberi amaran kepada pasukannya yang semakin matang supaya tidak lagi menjadikan faktor umur sebagai alasan jika kelab itu gagal mencapai kejayaan selepas empat musim berturut-turut.

“Ada tempoh tertentu untuk sesebuah pasukan tampil menunjukkan kekuatan mereka. Bagi pasukan saya, masanya sudah tiba,” kata pengurus berbangsa Perancis itu menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stadium Emirates hari ini.

Piala terakhir Arsenal ialah pada 2005 ketika kelab utara London itu menewaskan Manchester United dalam penentuan penalti final Piala FA, tetapi selepas itu pemergian beberapa pemain bintang dan perpindahan stadium mengehadkan dana buat Wenger.

Sebagai jalan penyelesaian, Wenger membentuk sebuah pasukan dibarisi pemain-pemain muda berbakat yang dirasakan Wenger sudah mencapai tahap kematangannya kini.

“Kami bukan lagi pasukan yang boleh dianggap mentah. Saya rasa kami mempunyai kekuatan dan akan membuktikannya Ahad ini dengan menewaskan mereka (Chelsea),” kata Wenger. - Reuters

JOKE OF THE DAY : MALDIVES 1 MALAYSIA 0



Minta maaf banyak2 sebab tak sempat nak update blog ni, cuti raya hajilah kan, so sempatlah aku pergi menziarahi makam Rasulullah di Madinah dan bersolat aidil adha di Masjid Nabawi sementara umat Islam yang lain berwukuf dan melontar di Mina. Tetapi yang paling mengecewakan aku bila baca paper di pagi raya haji ini ialah Malaysia 0 MALDIVES 1. 2 Kali kita tewas dengan pasukan yang rata2nya pemain amatur. Ada ke si Rajagobal kata sepatutnya kita menang 4-1 atau 5-1. Ya nade aya....itu jawapan lapuklah...kalau aya coach team estet bolehlah cakap itu macam. Ini friendlylah ma....ada dalam list FIFA. Kita mesti menang every friendly match baru ranking ada naik...Kalau sudah kalah tetap kalahlah mana ada sepatutnya.....Ye nadeyyyy poooodahhhh....

Tuesday, November 24, 2009

JURULATIH2 PASUKAN BOLASEPAK NEGARA2 ASIA

Berikut adalah nama jurulatih2 bolasepak negara di dalam 10 senarai terbaik di Asia . Di dalam kurungan adalah ranking FIFA yang terbaharu dan juga negara asal jurulatih itu.

1) AUSTRALIA (21)- Pim Veerbek (Holland)
2) JAPAN ( 43 ) - Okeda Takeshi ( Japan)
3) KOREA SELATAN (52) - Huh Jung Moo ( Korea Selatan )
4) BAHRAIN ( 61 ) - Milan Macala ( Czech Republic)
5) IRAN ( 63 ) - Seyed Afshin Gothbi ( Iran )
6) ARAB SAUDI ( 65) - Jose Peseiro ( Portugal )
7) OMAN ( 83) - Claude Le Roy ( France)
8) KOREA UTARA ( 84 ) - Kim Jong Hun ( Korea Utara )
9) QATAR ( 87 ) - Jorge Fossati ( Uruguay )
10)IRAQ ( 88) - Ndhim Shakir ( Iraq)

Pasukan dari negara2 Asia Tenggara
1) THAILAND ( 107 ) - Bryan Robson ( England )
2) SINGAPORE ( 111 ) - Avramovic Radojko ( Serbia)
3) INDONESIA ( 127 ) - Benny Dolo ( Indonesia )
4) MYANMAR ( 135 ) - Tim Myint Aung ( Myanmar )
5) VIETNAM ( 130) - Da Silva Calisto ( Portugal )
6) MALAYSIA ( 152) - K RAJAGOBAL ( MALAYSIA )

Dari list yang dipamirkan di atas, kesimpulan yang di buat adalah kebanyakan negara2 yang berada di atas Malaysia di dalam ranking FIFA mempunyai jurulatih yang berkaliber. Walaupun sekarang ini, Jepun dan Korea mempunyai jurulatih tempatan sahaja tetapi jangan kita lupa bahawa Guus Hiddink adalah pemangkin Korea sehingga berjaya sekarang ini. Beliau berjaya membawa Korea ke separuh akhir Piala Dunia 2002.
.

Jepun pula dilatih oleh Philippe Trousier ( France )untuk Piala Dunia 1998, 2002 dan Zico ( Brazil ) untuk Piala Dunia 2006. Manakala Iraq sewaktu menjuarai Piala Asia 2007 dilatih oleh Jorvan Viera dari Brazil yang dipecat oleh FAM sewaktu menjadi jurulatih pasukan bawah 20. Selepas meninggalkan Malaysia Viera telah berjaya mengemudi Iraq sehingga menjuarai Piala Asia 2007. Ke arah mana Malaysia akan di bawa oleh FAM jika ingin melihat pasukan negara berjaya berdasarkan dari senarai jurulatih di atas dan ranking di dalam FIFA. FAM masih tak serik2.....

Monday, November 23, 2009

BETUL KA APA YG DIKATA OLEH PRESIDEN FAM???

Cuba hang baca statement dari Presiden FAM ni, hang ingat ada betul ka?? Aku petik dari Utusan Online hari ini. Kalaulah Presiden memang benar2 nak berlaku adil, aku takut yang dok keliling Presiden je yang lebih2, wa ampu sana wa ampu sini.....sendiri mau ingatlah wahai majlis exco FAM jika benar2 mahukan Liga Malaysia satu liga yang berkualiti walaupun jumlah pasukan yang kecil. Dari situ, kita akan dapat pemain2 yang berkualiti....Masalahnya Kelantan yang sudia bersedia dengan Liga Malaysia 2010 pun masih lagi gagal mematuhi syarat2 FAM apatah lagi Pahang......

'Pahang tiada keistimewaan'

PETALING JAYA - Tidak akan ada layanan istimewa mahupun pilih kasih mampu diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah (gambar) walaupun kepada Pahang jika negerinya itu yang masih gagal memenuhi syarat-syarat asas penyertaan Liga Malaysia musim depan.

Tegas baginda sempena mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM semalam, FAM hanya mahu mengamalkan dasar meritokrasi kepada setiap pihak seperti mana yang terbukti dengan penurunan skuad Tok Gajah itu ke Liga Perdana 2010 setelah menduduki antara dua tempat tercorot Liga Super musim ini.

"FAM telah memberikan tempoh sehingga 30 November ini iaitu tarikh akhir kedua untuk pasukan berkenaan memenuhi syaratnya. Kita harus menerima hakikatnya dan menegakkan pengurusan secara profesional. Saya tidak akan berganjak walaupun Pahang turut terlibat," titah baginda di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sehingga kini, tiga pasukan dalam Liga Super masih belum memenuhi syarat penyertaan yang berkaitan tunggakan gaji pemain, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Perkeso dan potongan cukai pendapatan ialah naib juara Piala Malaysia dan Piala FA - Kelantan, Perak dan Pulau Pinang sementara daripada Liga Perdana ialah Pahang, Shahzan Muda dan Melaka.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, sekiranya semua pasukan itu masih gagal berbuat demikian, mesyuarat Majlis FAM dengan cadangan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan pada 6 Disember ini akan menentukan format pertandingan yang sewajarnya sama ada untuk kekal dengan baki pasukan sekarang atau sebagainya.

Kelantan FA bersedia untuk 2010 Liga Malaysia

Aku tertarik dan tabik dengan langkah Kelantan FA mengumumkan senarai pemain untuk Liga Malaysia 2010. Pengguguran Khalid Jamlus dan Halim Napi memang satu langkah yang tepat kerana kita boleh lihat bagaimana Khalid bermain seolah2 tak bersemangat, layu dan menunggu bola. Sering di label sebagai " problem boy " oleh pasukan2 yang diwakilinya. Pemilihan Akmal Rizal satu langkah yang tepat walaupun Akhmal sering dilanda kecederaan tetapi " scoring touch " Akhmal masih lagi berbisa. Cuma Akhmal perlu menurunkan sedikit berat badannya untuk mengembalikan kepantasannya.Saya yang mengikuti permainan Akhmal Rizal sejak tahun 2000 merasa Akhmal perlu bermain dengan pasukan yang hebat dan pengurusan yang prihatin seperti Kelantan FA. Beliau perlu berada di dalam senarai " 1st Eleven " agar dapat mengekalkan tempo nya seperti di tahun 2001-2002.
Tetapi adakah pengekalan Sathianathan satu langkah yang bijak? Sathianathan hanya meneruskan corak yang di buat oleh Peter Butler jurulatih Kelantan terdahulu. Tidak nampak keistemewaannya di dalam mengendalikan skuad Kelantan . Beliau tiada track rekod di dalam melatih pasukan Liga Malaysia tiba2 sahaja dilantik mengemudi pasukan Malaysia. Rekodnya hanyalah membimbing pasukan negara mengalahkan Kampuchea dan Afghanistan. Dengan Maldives pun Malaysia kalah sewaktu di bawah bimbingannya.
Oleh itu Annuar Musa dan Kelantan FA perlu merisik jurulatih yang berkaliber untuk membimbing Kelantan. Jangan sesekali melantik Ken Worden kerana corak permainan yang mudah dibaca, style lama, melalui winger dan melambung bola ke tengah...itu corak kegemaran Ken Worden yang saya amati sejak dia melatih Selangor mahupun pasukan kebangsaan.

Friday, November 20, 2009

HAHAHAHA FAM DAH BALIK ASAL...FRIENDLY DENGAN MALDIVES

Berita dan jadual terbaru yang aku terima bila baca web FIFA. Hahahah Ni lah kerja FAM ni....bila skuad dah mula meningkat , dia sajikan dengan team cikai....lagi baik friendly match dgn PKNS atau pun Selangor je.Tak perlu buang duit membawa team yang tarafnya tak lebih dari pasukan di Liga Perdana. Macam ada tak kena dalam FAM ini. Memanglah, untuk perlawanan pemanas badan, kita tak perlu pasukan yang hebat, tapi untuk jangkamasa panjang, kita perlu pasukan yang bermutu untuk perlawanan persahabatan. Kita boleh jemput Oman yang sekarang ini dikendali oleh Claude Le Roy, bekas jurulatih Malaysia .

Dah berkali2 saya tulis dalam blog ni kepincangan FAM di dalam menangani pasukan kebangsaan. selagi beginilah mentaliti pegawai FAM, selagi itulah bolasepak negara tak ke mana. Apa hebatnya Maldive berbanding PKNS mahupun KL PLus. Silap2 Harimau Muda pun lagi hebat standardnya dari Maldives. Sudah masanya kesemua pegawai2 di dalam FAM berundur. Semacam ada yang tak kena......

TAK SEKUAT MANA PUN TEAM DARI ASEAN

Semalam aku berpeluang melihat pasukan Vietnam menentang Syria di Al Jazeera Sport Channel. Perlawanan berkesudahan 0-0 bermain di Syria.

Kesimpulan yang aku ambil di sini setelah meneliti permainan Vietnam mahupun Syria. tahap permainan mereka macam Liga Super Malaysia sahaja. Terus terang aku katakan bahawa pasukan Rajagobal bermain lebih baik dari mereka berdasarkan pemerhatian aku sewaktu Malaysia lawan Mu lah. Sewaktu Malaysia lawan Uzbek, aku tak berkesempatan menonton.

Jadi tiada alasan untuk Malaysia tewas di Sukan SEA pada Vietnam mahupun Thailand jika berdasarkan perkiraan atas kertas, yang mana Syria seri 1-1 dengan Thai di Bangkok dalam perlawanan persahabatan yang baru ini.

malaysia perlu mengadaptasikan permainan yang pantas, kerana dunia bolasepak moden bermain dengan pantas. Ini dapat dilihat sewaktu Algeria menentang Mesir, betapa pantas permainan mereka dan cukup menghiburkan terutama di pusingan kedua di Mesir baru2 ini.( Mesir bertemu Algeria sebanyak 3 kali, dan yang terbaru pada 18hb November, mereka terpaksa bermain di gelanggang berkecuali di Sudan , akibat mempunyai jumlah mata, gol dan perbezaan gol yang sama ).

Pegawai2 perlulah mengelakkan mengeluarkan kenyataan bahawa pasukan Malaysia ini pasukan muda atau lawan lebih tinggi kelasnya dari malaysia. Ini akan menyebabkan pemain bermain di dalam keadaan inferiority complex.

Selamat Maju Jaya Rajagobal dan anak2 buahnya. Kita meletakkan harapan bahawa mereka boleh melepasi pusingan pertama di sukan SEA di Laos nanti

Wednesday, November 18, 2009

BILA KALAH, ALASAN INI YANG AKAN KITA DENGAR...

Seperti dijangka Uzbekistan 3 Malaysia 1. Lagi2 alasan yang aku dengar dari jurulatih terutama jurulatih tempatan:

1) SKUAD MALAYSIA INI IALAH SKUAD MUDA , SKUAD BAWAH 23 TAHUN
Dah muak aku dengar jawapan ini. Dahulu pun jawapan yang sama. Abih tu FAM asyik buat skuad muda je lah. Bila skuad ni nak tua2 ...nak matang2..sejak zaman Zainal Abidin Hassan, pastu zaman Azman Adnan, pastu zaman Khalid Jamlus, Akmal rizal sampailah sekarang ni, kalau kalah itu je lah alasannya. Abih tu pasukan negara lain semua pakai kuda tua ??? Sendiri mau fikirlah bro.. Tadi aku tengak Algeria lawan Mesir, kesudahan Algeria menang 1-0 seterusnya qualified World Cup 2010, majoriti pemain Algeria pun average 23 tahun..Mana pergi skuad muda FAM ni ????

2) PASUKAN LAWAN BUKAN KELAS KITA
Sampai bila Malaysia nak jadi low class?? Facilities world class tapi main low class. Sampaikan Thailand pun sekarang ni bukan kelas kita. Agaknya kalau sekolah, kita ni tak naik2 kelas, asyik duk Darjah 1 je...Thailand dah masuk darjah 6, Korea dan jepun dah masuk U gamaknya. FAM memang aku akuilah Low Class sejak ditadbir oleh Presiden sekarang ni ( marah sangat aku ni kat Presiden FAM sebab mana ada kejayaan sejak dia pegang, tak mau turun2...dah berpuluh2 tahun kat atas, bagi je orang lain peluang...).

3) TUMPUAN KITA IALAH UNTUK SUKAN SEA.
Aku marah betul dengar jawapan ini. Jawapan aku untuk Jawapan ini ialah memang mangkuk betul...Bila kalah jawapan dari jurulatih ialah, " tumpuan kita ialah untuk Pestabola Merdeka...." , itu jelah jawapan jurulatih kita.Lepas abih Sukan SEA di Laos nanti, aku gerentilah, setakat pusingan awal sahaja. Kita aakan bungkus dengan Vietnam dan Thailand. Alasan yang diterima macam aku tulis dulu ialah," pemain2 kita cedera sewaktu lawan Uzbekistan...". memang mangkuk betul ( marah betul aku ni...)

Tapi yang utama, jawapan bagi kekalahan2 ini ialah

1) Presiden FAM perlu berundur secara terhormat. Tiada kejayaan yang dibanggakan sejak beliau memegang tampuk FAM
2) Kita perlukan jurulatih berwibawa. Ambil sahaja jurulatih ternama yang boleh membawa publisiti dan minat pasukan2 ternama membuat perlawanan persahabatan dengan kita. Contohnya , FAM melantik Felippe Scolari sebagai head coach dan ditaja oleh Air Asia. Kalau Air Asia boleh menaja team F1 1Malaysia yang bernila ratusan juta setahun, kenapa tidak boleh menaja jurulatih yg berwibawa untuk tempuh sekurang2nya 3 tahun dengan matlamat melayakkan diri ke Sukan Olmpik misalnya.
3) Banyakkan perlawanan prsahabatan dengan pasukan yang berkualiti. Di mana ada tarikh perlawanan persahabatan yang diberi oleh FIFA, pasukan negara seringkali tercicir. Atur perlawanan dengan pasukan2 bukan ternama Eropah contohnya Belarus, Luxemborgh , Slovakia dll.

Yang paling penting. FAM perlu jujur kepada negara dan peminat2 bolasepak tempatan

Sunday, November 15, 2009

FOOTBALL NITE

14hb November adalah tarikh yang penuh dengan perlawanan bolasepak. Dari petang hingga ke malam. Tarikh yang ditetapkan oleh FIFA untuk mana2 skuad kebangsaan bertarung samada untuk persahabatan, perlawanan kelayakan Piala Dunia mahupun Perlawanan Kelayakan Piala Asia.

Duduk di Jeddah ini membolehkan aku menonton perlawanan persahabatan di TV di antara Brazil dan England, kelayakan Piala Dunia antara Algeria dan Mesir, kelayakan Piala Asia antara Kuwait dan Indonesia, Persahabatan antara UAE dan Manchester City. Perlawanan di antara Saudi dan Belarus tidak sempat ditonton kerana clash dengan perlawanan Brazil dan England.

Ingin aku tekankan di sini adalah perancangan skuad kebangsaan negara2 lain contohnya Saudi mahupun UAE. Mereka walaupun tidak ada kejohanan yang perlu mereka hadapi, pasukan kebangsaan mereka sentiasa diuji dari semasa ke semasa. Dengan cara sedemikian skuad kebangsaan mereka sentiasa bersedia untuk bertarung dalam apa jua perlawanan. Hari ini UAE sekali lagi melakukan perlawanan persahabatan dgn pasukan Czech Republic. Sedangkan pasukan UAE hanya akan menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia pada bulan Januari hadapan, itupun menentang skuad negara kita. Manakala pasukan Saudi tiada apa2 kejohanan yang besar yang bakal mereka sertai setelah tersingkir dari Piala Dunia 2010.

Pasukan Malaysia selalu gagal di dalam aspek ini. kalau kita buka web FIFA, kita akan lihat pasukan2 lain berlumba2 untuk membuat perlawanan persahabatan pada tarikh2 yang ditetapkan oleh FIFA tetapi FAM tidak peduli kan hal ini. Macamana lah pasukan negara kita hendak maju sedangkan tiada rancangan jangka panjang dari FAM. Mereka hanya menyediakan pasukan apabila hendak bertanding sahaja. Aku boleh gerenti tahun 2010 tiada perancang lagi dari FAM untuk pasukan negara kerana tiada kejohanan besar yang bakal disertai oleh skuad negara. Pada FAM , cukuplah sekadar MENYERTAI Kejohanan Piala AFF ASEAN, Sukan SEA dan Pestabola Merdeka.

Aku

Thursday, November 12, 2009

BEKAS PEMIMPIN2 BOLASEPAK MALAYSIA YANG BERKARISMA DAN BERJAYA


Tan Sri Elyas Omar - Kuala Lumpur FA dan Bekas Presiden BAM
Satu individu yang benar2 mencintai sukan. Pernah menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur. Menaikkan skuad Kuala Lumpur menjadi satu kuasa bola yang disegani pada tahun 80 dan awal 90an. Memulakan pengimpotan besar2an pemain pemain handalan negara dan Singapura untuk mewakil Kuala Lumpur kerana sememangnya agar sukar untuk Kuala Lumpur menjadi pasukan terkuat di persada bolasepak negara jika mengharapkan anak jati Kuala Lumpur. Walaubagaimanapun pemain2 jati Kuala Lumpur seperti Man Zan Mat Aris, Razip Ismail, Subadron Aziz dan lain lain lagi berjaya mendapat pengiktrafan seterusnya mewakil negara.

Sewaktu menerajui Persatuan Badminton Malaysia, pasukan Malaysia berjaya menjuarai Piala Thomas ( 1992). Walaubagaimanapun sudah menjadi adat resam dunia, orang yang berjaya pasti dicemburui. Itulah yang terjadi kepada Tan Sri Elyas Omar


Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil - Kedah FA
Tidak dinafikan bahawa Datuk Ahmad Basri adalah pemangkin kejayaan Kedah sekarang ini. Pada lewat 80an tiba2 nama Kedah melonjak sebagai kuasa besar bolasepak negara sehingga memasuki Final Piala Malaysia 3 tahun berturut2 ketika itu. Allahyarham bertanggungjawab mencungkil bakat2 anak negeri Kedah ketika itu antaranya seperti Radhi Mat Din sehingga beberapa pemain Kedah dipanggil mewakili negara. Pemilihan Robert Alberts dari Holland menjadi jurulatih di bawah kepimpinan beliau benar2 melonjakkan nama Kedah. Malangnya kritikan membina beliau terhadap FAM menjadikan beliau mangsa sehigga digantung jawatan. Dari sini kita nampak bahawa FAM satu organisasi yang tidak boleh dikritik, menyebabkan tahap bolasepak negara mundur kerana dipenuhi pengampu2 kepada Presiden.


Dato Aini Taib - FA Selangor
Meneruskan kegemilangan Selangor sebagai kuasa besar bolasepak kebangsaan. Dibawah kepimpinan beliau Stadium Shah Alam sentiasa penuh. Berjaya mencungkil bakat2 baru dalam skuad Selangor.Walaubagaimanapun kepimpinan FA Selangor tetap berjaya di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Presiden FA Selangor.


Dato Seri Adib Adam (gambar diambil dari web syarikatnya) - Melaka FA awal tahun 80an
Menerajui Melaka FA sewaktu menjadi Ketua Menteri Malaka di akhir 70an dan awal 80an. Dibawah kepimpinan beliau Melaka berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia pada tahun 1983 dan menjadi salah satu kuasa besar bolasepak negara. Memanggil semula pemain2 Melaka yang bermain di luar Melaka untuk mewakili negeri contohnya Soh Chin Aun, G Torairaju, Ramli Junit dan lain lain lagi. Stadium Kubu yang usang ketika itu penuh sesak dengan penonton. Malangnya sejak peninggalan beliau Melaka FA hanya tinggal sejarah sesuai dengan nama Melaka Bandaraya Bersejarah....


Allahyarham Dato' Taha Ariffin - Sarawak FA

Eranya ialah pada lewat 80an, 1990an dan awal 2000, Sarawak merupakan kuasa bolasepak negara. Beliau memilih Alan Vest sebagai jurulatih Sarawak melihatkan satu gandingan yang kukuh menerajui Liga Malaysia ketika itu. Sekarang ini, tanpa kelibatnya Sarawak menjadi satu pasukan yang bermasalah terutama dari segi kewangan. Sayang sekali, Sarawak mempunyai bakat2 bolasepak yang tidak diterokai sepenuhnya

TIADA ALASAN UNTUK SKUAD RAJAGOBAL GAGAL MENYERLAH DI SUKAN SEA 2009



Sukan SEA 2009 yang akan diadakan di Laos meletakkan Malaysia di dalam satu kumpulan bersama Thailand dan Vietnam. Untuk menjadi juara sebenar, Malaysia perlu menewaskan setiap pencabarnya di dalam Kumpulan agar rasa gentar di kalangan pasukan-pasukan lain yang bertanding.

Ciri-ciri juara bagi sesebuah pasukan, tidak perlu berkira siapa pencabarnya di dalam saingan kumpulan. Setelah didedahkan dengan berbagai siri perlawanan persahabatan berkelas A seperti 2 perlawanan dengan Manchester United, Arab Saudi, Jordan dan lain lain lagi, maka tiada alasan untuk skuad Rajagobal ini gagal menyerlah. Di tambah pula pada Pusingan Kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan, Rajagobal menurunkan hampir keseluruhan skuad Bawah 23nya.jangan pula kalau kalah teruk Rajagobal akan memberi jawapan yang sering kita dengar dari jurulatih2 tempatan ini " Skuad ini menumpukan kepada Sukan SEA " tapi bila kalah di Sukan SEA jawapannya pula ialah " Ramai pemain handalan kita tercedera sewaktu menentang Uzbekistan, yang menyebabkan pasukan kita under strength ...". Inilah jawapan2 klise yang selalu kita dengar dari jurulatih kita yang tidak professional.

Walaubagaimanapun, sebagai peminat bolasepak tempatan, kita berharap bahawa skuad kendalian Rajagobal ini menyerlah di Pusingan Kelayakan Piala Asia dan juga Sukan SEA di Laos memandangkan potensi yang ada di dalam skuad ini. Cuma harapan kita, agar jika berlaku kekalahan jangan bubarkan skuad ini cuma lantiklah jurulatih import yang mempunyai reputasi.

Wednesday, November 11, 2009

WA SUDAH CAKAP MA....PAHANG MESTI MAIN PUNYA....

Kan aku dah jangka, Pahang MESTI dapat menyertai Liga Super/Perdana tahun 2010. Baca petikan artikel Utusan di bawah ini:

Liga M 2010: Pahang tetap akan beraksi

KUANTAN - Berita gembira buat penyokong pasukan Tok Gajah apabila Pahang akan tetap beraksi pada musim baru Liga Malaysia (Liga M) tahun hadapan.

Perkara itu dinyatakan oleh Exco Belia dan Sukan Pahang, Datuk Wan Adnan Wan Mamat yang menyatakan pasukan Pahang sudah pun menyelesaikan segala masalah kewangan yang dihadapi sebagaimana disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Pahang akan tetap menyertai Liga Perdana tahun depan kerana masalah yang wujud sudah diatasi. Itu termasuk cagaran atau deposit sebanyak RM1.5 juta dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Sukan Untuk Semua peringkat Pahang 2009 di sebuah hotel di sini.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Pahang, Suhaimi Mohd. Yunus; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Abdul Rahim Tuan Bahru dan Pengerusi Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kelainan Upaya (Pesron) negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd. Zaili Besar.

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang berdepan masalah kewangan membabitkan caruman KWSP pemainnya dilaporkan dalam proses mengemukakan rayuan kepada FAM supaya dibenarkan beraksi pada musim baru Liga M tahun hadapan.

Wan Adnan mengakui sebelum ini persatuan berdepan dengan masalah kewangan termasuk tunggakan caruman KWSP pemainnya sehingga berdepan kemungkinan tidak boleh beraksi pada Liga M.

Bagaimanapun, katanya, semua masalah tersebut telah diatasi untuk membolehkan skuad Tok Gajah itu terus beraksi dalam Liga M.

Ditanya usaha kerajaan negeri untuk mengukuhkan kewangan PBNP, Wan Adnan berkata, persatuan mempunyai sumber pendapatan sendiri dalam menjana pendapatannya, selain mendapat bantuan geran daripada kerajaan negeri.

"Persatuan mempunyai pendapatan tersendiri yang boleh menjana kewangannya untuk membayar gaji pemain dan sebagainya. Jadi, tidak ada masalah sekiranya sumber kewangan yang ada digunakan secara betul," katanya.



Depa kata Persatuan Bolasepak Pahang banyak duit. Ada geran dari Kerajaan Negeri lah. Mana pi duit tu? Tahun depan cerita lama akan kita dengar dari skuad Pahang. Gaji pemain tertunggak berbulan2. Siapalah yang pegang Pahang FA ni...

DAH DIJANGKA...HOKI BERTAMBAH TERUK

Seperti yang ditulis di dalam blog ini terdahulu, hoki Malaysia bertambah malap, apatah lagi tewas di tangan New Zealand 4-2 satu keputusan yang telah dijangka. Yang membuat aku geram sangat, kenapa wartawan sukan kita ini terlalu menakut2kan skuad negara akan kehebatan lawan kita selepas ini iaitu China. Adakah memang sekarang ini , rekod kita dengan pasukan China teruk?? Dahulu pada tahun 80an kita berada satu kelas dengan Pakistan dan India di benua Asia. Selepas Sukan Olimpik di Korea pada tahun 1988, Korea mula muncul sebagai satu kuasa besar hoki yang baru. Sekarang ini muncul pula Jepun dan China. Apa dah jadi dengan hoki Malaysia?? Adakah pasukan Jepun dan China bertambah baik ataupun pasukan hoki Malaysia makin ke belakang? Jawapannya adalah:

1) Tukarkan sahaja kepimpinan Persekutuan Hoki Malaysia terutama Presiden yang kita tahu tidak mempunyai rekod yang baik sewaktu memimpin Persatuan Bolasepak Malaysia. Adakah Malaysia ketandusan pemimpin2 sukan yang berwibawa seperti Datuk Nadzmi dari Persatuan Badminton Malaysia?

2) Wartawan sukan maupun Editor perlu lebih jujur untuk memajukan sukan. Kita tidak nampak dimana kritikan tajam mereka terhadap persatuan-persatuan sukan yang dipimpin oleh kerabat Diraja ini. Tidakkah mereka tahu bahawa kritikan yang dilemparkan itu akan memajukan sukan negara untuk jangkamasa yang panjang dan bukan mengritik singgahsana Raja kita.

Selagi tiada kejujuran dan kesungguhan di kalangan pemimpin persatuan sukan terutama dari golongan kerabat dan juga wartawan sukan, selagi itulah sukan kita di tahap yang mengecewakan.

Petikan dari Utusan Malaysia hari ini:

Harapan hoki kita semakin tipis ke Piala Dunia

KUALA LUMPUR - Harapan skuad kebangsaan untuk layak ke pusingan akhir hoki Piala Dunia tahun depan semakin tipis apabila tunduk 2-4 kepada tuan rumah pada perlawanan ketiga pusingan kelayakan di Invercargill, New Zealand, semalam.

Walaupun masih ada baki dua perlawanan, kekalahan tersebut menyempitkan peluang untuk layak menyertai kejohanan di India tahun depan apabila berdepan misi sukar menundukkan China pada perlawanan terakhir kumpulan, Sabtu ini.

China di ranking ke-13 dunia, berbanding ranking ke-16 skuad negara, menang kesemua tiga perlawanan dan hanya dipisahkan dengan pendahulu, New Zealand menerusi perbezaan gol.

Namun, sebelum itu berdepan China, skuad bimbingan Tai Beng Hai perlu memastikan kemenangan ke atas Scotland, esok.

Pada masa yang sama, skuad kebangsaan perlu mengharapkan China tunduk kepada New Zealand apabila kedua-dua pasukan turut berentap, esok.

Selepas tiga perlawanan, skuad kebangsaan mengumpul empat mata, lima mata di belakang New Zealand dan China.

Hanya pasukan yang muncul juara akan layak ke pusingan akhir Piala Dunia di India tahun depan.

Jurulatih negara, Tai Beng Hai berkata, beberapa keputusan pengadil perlawanan disifatkan tidak memihak kepada skuad kebangsaan.

''Kami banyak melancarkan serangan ketika kedudukan 2-2 tetapi keputusan pengadil agak mengecewakan dan ini menjejaskan rentak permainan kita,'' katanya.

Pada perlawanan semalam, pasukan tuan rumah mendahului dua gol menerusi jaringan pukulan sudut penalti Ryan Archibald pada minit keenam dan jaringan padang Phillip Burrows pada minit ke-10.

Skuad kebangsaan kembali mengimbangi permainan apabila menyamakan kedudukan menerusi Azlan Misron pada minit ke-30 dan Faisal Saari pada minit ke-44.

Namun, cabaran pasukan kebangsaan beraksi apabila New Zealand terus di depan menerusi jaringan Hayden Shaw dan Simon Child masing-masing pada minit ke-52 dan ke-62.

Sementara itu, perlawanan lain menyaksikan China mengalahkan Wales 2-1 dan Scotland menewaskan Austria 3-2.

Monday, November 9, 2009

LIGA REMAJA BAWAH 11 KEBANGSAAN SUDAH MENGHAMPIRI SUKU AKHIR

Sebagaimana tertera di dalam web http://www.jrleague-malaysia.com , liga remaja bawah 11 tahun kebangsaan sudah menghampiri ke peringkat suku akhir. Sejak di lancarkan oleh Presiden FAM, liga yang bermula awal tahun ini akan memasuki peringkat suku akhir pada hari Sabtu 14 November 2009. Kelab-kelab yang akan bertemu di suku akhir adalah :

Quarter-Final 1 : YFA- Bintang Muda VS Akademi Soccerkids

Quarter-Final 2: Akademi Bolasepak MBPJ VS Mahkota Football Academy.

Quarter- Final 3: Akademi PKNS FC VS Royal Selangor Club

Quarter- Final 4 : Gen Pro VS Kidokickers

Liga yang dibahagikan 2 kumpulan dengan 12 pasukan setiap kumpulan bertanding mengikut peraturan yang ditetapkan FAM.

Akademi Bolasepak PKNS FC , penghuni tempat kedua kumpulan A, satu2nya pasukan yang tidak pernah tewas di dalam pusingan kedua, menghadapi laluan sukar berdepan dengan Royal Selangor Club. Perlawanan akhir akan di adakan di Stadium MBPJ.

Gol2 menarik dapat disaksikan di dalam web ini, yang mana kita melihat bahawa Malaysia mempunyai bakat bolasepak yang banyak dikalangan anak2 kita. Malangnya, bakat2 ini terbiar bila memasuki usia dewasa akibat..........

HOKI MALAYSIA SUDAH MENUJU KEHANCURAN

Sebagaimana yang aku tulis dalam artikel aku terdahulu, Persekutuan Hoki Malaysia di bawah pimpinan presiden yang baru akan menuju kehancuran. Tekaan aku tepat, sukan hoki memang sudah menampakkan cahaya yang gelap. Presiden hoki Malaysia sudah kita nilai kemampuannya sewaktu menjadi Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dan Presiden Persatuan Bolasepak Pahang dahulu yang mana kedua-duanya hancur teruk.
Sekarang ini pasukan hoki Malaysia sedang berhempas pulas di dalam Pusingan Kelayan Piala Dunia di New Zealand yang mana pasukan negara hanya seri 2-2 dgn AUSTRIA, dan menang tipis 2-1 dgn Wales. Kedua2 negara ini dahulunya bukan tandingan Malaysia dan Malaysia sering berada di kelompok 12 pasukan terbaik dunia. Sekarang apa dah jadi?? Utk menjadi juara seterusnya melayakkan diri ke Pusingan Akhir Piala Dunia mungkin memerlukan keajaiban kerana sekarang ini Malaysia juga sukar untuk menundukkan China yang pada tahun2 zaman Mirnawan Nawawi senang2 boleh belasah 4-0 apatah lagi untuk menundukkan tuanrumah New zealand.
Untuk melihat kegemilangan semula hoki, ahli2 Majlis perlulah memilih Presiden yang berkaliber dan berkemampuan. Belajarlah dari pengalaman FAM yang ditadbir selama berpuluh tahun oleh seorang Presiden dan Timbalan Presiden yang sekarang ini menjadi Presiden mereka . Apa jadi pada bolasepak negara? Hanya setaraf dengan Afghanistan, Maldives dan Kemboja......

Saturday, November 7, 2009

NEGERI SEMBILAN JUARA PIALA MALAYSIA 2009



Akhirnya Negeri Sembilan juara...setelah 61 tahun menanti. Tahniah kepada Wan Jamak dan pemain2 nya. Taktikal Wan Jamak menjadi. Dari situ kita lihat kehebatan Wan jamak sebagai jurulatih berbanding B Sathianathan. Pemain2 Kelantan sememangnya berpengalaman seperti Indra Putra, Halim Napi dll tetapi percaturan taktikal dalam perlawanan akhir amat penting.
Sebagaimana kata Shebby dalam ruangannya di salah sebuah akhbar harian, Wan jamak merupakan jurulatih yang berwibawa, outspoken , tegas mirip pengurus pasukan Eropah tetapi tidak disukai oleh pentadbir2 FA negeri yang sememangnya bijak berpolitik.
Tahniah Wan jamak n the Geng. Akhirnya monang nogoriku....

Thursday, November 5, 2009

PAHANG DAN SHAHZAN MUDA AKAN DISINGKIRKAN DARI LIGA PERDANA TAHUN 2010

Itulah tajuk akhbar yang aku baca. Pahang dan Shahzan Muda tidak akan dibenarkan menyertai Liga Perdana tahun 2010. Boleh percaya ka statement ni?
Tengoklah nanti, last2 Pahang dapat masuk juga melalui pintu belakang.

Yg herannya Presien FAM ni dari negeri mana? Siapa yg terajui Pahang FA? Anaknya juga. So camne lah nak majukan FAM jika FA sendiri pun kacau bilau. Sekarang ni hoki Malaysia pun dah mula hancur. Betul tak apa yg aku jangkakan? Cuba lihat tulisan aku terdahulu. Siapa pegang Persatuan Hoki Malaysia?? Anak dia juga...Hoki sekarang ni, Malaysia pun main asyik kalah je. Dengan Austria di ulang AUSTRIA bukan AUSTRALIA, pun kita hampir kalah!!! Apalah nak jadi sukan kita ni????

KELANTAN ATAU NEGERI SEMBILAN??

FAM mesti mencongak keuntungan yang bakal mereka dapat daripada Final antara Kelantan dan Negeri Sembilan untuk edisi penutup tirai Piala Malaysia 2009. Di rasakan bahawa baju merah iaitu penyokong Kelantan akan melebihi jumlah baju Kuning dari Negeri Sembilan,

  Peminat-peminat Kelantan berebut untuk membeli tiket di Kota Bharu dan dalam masa 4 jam tiket habis dijual. Manakala di Negeri Sembilan, penjualan lembab sebab orang Negeri Sembilan tunggu tiket free dari kerajaan di bawah MB Mat Hassan.Tahun 2000 dulu dapat tiket free dari Mat Isa.Dapat t shirt lagi ... Biasalahkan negeri dibawah kerajaan barisan semuanya dihulur, duit rakyatttttt. .....

  Bukan itu atau isu politik yang ingin disentuh tetapi latarbelakang skuad yang bertarung ini yang akan dibincangkan. Dijangka skuad kendalian Sathianathan maupun Wan Jamak akan mempamerkan corak serangan. Tiada istilah defensive dalam bolasepak moden, kerana bila asyik bertahan walaupun letak 10 orang di bawah, lambat laun akan bocor juga. Kedua2 jurulatih adalah bekas jurulatih negara, dan kedua2 jurulatih pernah dipecat dari FAM. Wan jamak dipecat dari FAM pada tahun 1997 apabila Malaysia kalah di tangan Laos di sukan SEA walaupun tahun sebelum itu beliau berjaya membawa Malaysia ke pusingan akhir Piala Tiger (itulah satu2nya perlawanan akhir Piala Tiger yang Malaysia masuk) manakala Sathianathan dipecat setelah Malaysia tewas 5-0 ditangan UAE pada awal tahun ini. Wan Jamak merupakan bekas pertahanan negara selalu mendapat tempat kesebelasan utama di awal 80an manakala B Sathianathan tiada rekod sebagai pemain kebangsaan yang berjaya.

Bila kita melihat corak permaianan kelab2 terkemuka Eropah, tiada istilah menyerah kalah pada setiap pemain mereka. Malah tiada istilah seri pada setiap perlawanan. yang mereka inginkan adalah kemenangan dan menjaringkan gol walau di saat2 akhir walaupun sudah mendahului 5 -0!! Itu yang tiada di dalam sanubari pemain2 kita.

Kita lihat perlawanan terbaru antara Manchester United dan CSKA Moscow, walaupun ketinggalan 3-1, MU tetap berusaha untuk menang dan akhirnya seri 3-3. begitu juga perlawanan antara MU dan Manchester City pada 20 september 2009 (hari raya pertama), di minit2 terakhir MU mencuba untuk menjaringkan gol dan akhirnya menang juga 4-3 (atau 3-2) walaupun sepatutnya seri pun dah memadai.Tiada istilah seri bagi mereka.

Oleh itu diharap kedua2 pasukan bermain bersungguh2 walaupun Kelantan memasukkan halim Napi yg terkenal dengan panas barannya. Selamat berjaya ...