Wednesday, December 9, 2009

APA SEBENARNYA NIAT FAM SETELAH MEMBUBARKAN HARIMAU MUDA UNTUK 2010??


Apa jadi dengan pasukan Harimau Muda A setelah dibubarkan dari menyertai Liga Super. Ini angkara untuk memberi laluan Pahang naik ke Liga Super. Siapakah yang sebenarnya mengkhianati bolasepak negara ? Rakyat, Pemain2 ataupun Majlis EXCO FAM termasuk pimpinan atasan FAM? Mana yang lebih penting Pahang ataupun pembangunan jangkapanjang skuad remaja kebangsaan? Baca petikan Harian Metro semalam.

Azraai rasa terkejut

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghalang Harimau Muda A bersaing dalam saingan Liga Super 2010 menimbulkan persoalan buat jurulatih skuad Bawah 21 tahun itu, Azraai Khor Abdullah.

Beliau yang terkejut dengan keputusan drastik badan induk bola sepak negara itu sehingga kini masih belum mendapat penjelasan rasmi daripada majikannya.

“Secara peribadi, saya memang terkejut. Saya memohon jawatan sebagai jurulatih Harimau Muda A untuk membimbing mereka dalam Liga Super sebab saya yakin pemain mampu memberi impak dalam saingan itu. Jadi, saya memang terkejut dengan keputusan FAM itu, tapi sebagai kakitangan, saya terpaksa akur.

“Saya belum mendapat sebarang penjelasan kerana Datuk Azzuddin Ahmad (Setiausaha Agung FAM) sudah berangkat ke Laos, mungkin dalam minggu ini juga saya akan bertemu dengannya,” kata Azraai.

Pada sidang media selepas mesyuarat Majlis FAM yang dipengerusikan Presiden, Sultan Ahmad Shah kelmarin, FAM memutuskan tidak membenarkan Harimau Muda A menyertai Liga Super musim depan. Pemain skuad itu akan dilepaskan beraksi bersama pasukan negeri dan kelab.

Harimau Muda B yang dibarisi pemain Bawah 19 tahun kekal dalam kancah Liga Perdana. Apa yang sukar diterima apabila pasukan di tempat kedua tercorot Liga Super musim lalu, Pahang yang sepatutnya bertanding dalam Liga Perdana musim 2010 dipilih menggantikan tempat Harimau Muda A.

Pada pandangan Azraai, langkah FAM itu kurang tepat kerana Harimau Muda A yang menjuarai Liga Perdana, musim lalu selepas hanya dibentuk selama dua tahun, harus kekal bersama dan bermain secara konsisten di peringkat lebih kompetitif.

“Ini menimbulkan tanda tanya apabila pemain Harimau Muda A diarah pulang ke negeri masing-masing. Adakah mereka akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama, kalau sebagai pemain simpanan saja, ia tidak memadai.

“Pemain perlu terus kekal bermain sebagai satu pasukan. Ini terbukti berkesan apabila mereka menjuarai Liga Perdana selepas beraksi bersama selama dua tahun. Malah apa akan terjadi dengan kontrak pemain yang akan tamat Mei depan,” katanya.

Azraai yang sebelum ini membimbing skuad Liga Super Kedah berkata, sesuatu harus dilakukan bagi memastikan pemain Harimau Muda A tidak disia-siakan kerana mereka adalah antara pemain yang bakal menggalas cabaran negara di Sukan Sea 2011.

“Mungkin kita boleh bawa Harimau Muda ke liga luar negara, seperti ke Singapura kerana pasukan itu mendapat tajaan Kementerian Belia dan Sukan. Mereka harus kekal bersama sebab sebelum ini sejarah sudah menunjukkan apabila pemain muda dibiarkan mewakili negeri, mereka gagal memberikan aksi berkesan,” kata Azraai.

No comments: