Sasaran Kata: Lawak bola sepak profesional negara-
Tiada idea 'jual' sukan ini kepada penaja, balik-balik kerajaan negeri:
APA sudah jadi dengan bola sepak profesional tempatan. Sana sini kedengaran pasukan negeri mahupun kelab dibayangi masalah kewangan. Hampir setiap tahun sejak liga profesional yang diperkenalkan pada 1994, masalah pemain tak dibayar gaji bulanan dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerap dibangkitkan.
Antara negeri yang dilanda masalah kewangan adalah Sarawak, Pahang, Perlis serta Melaka dan terbaru, kelab UPB-MyTeam yang mengambil satu langkah ke depan dengan memohon untuk menarik diri daripada saingan Piala Malaysia musim ini. Mengapa selepas lebih daripada 10 tahun liga profesional diperkenalkan, masalah seperti ini masih berlaku? Sebenarnya, ia tidak memerlukan pemikir agung untuk mengesan masalah ini. Apa gunanya liga profesional jika terlalu ramai pegawai di persatuan negeri masih amatur.
Apakah sumbangan mereka dalam menjana pendapatan untuk persatuan negeri selain menagih dana daripada kerajaan negeri? Sikap pegawai persatuan negeri juga agak melucukan apabila menagih pemain pulang berkhidmat untuk negeri kelahiran, sesuatu yang cukup pelik ketika tawaran wang pasti ukuran utama dalam kancah profesional. Tapi, itulah nada yang akan didendangkan persatuan negeri setiap tahun. Ada juga negeri berbelanja dengan tidak mengukur badan sendiri. Ini belum lagi termasuk tindakan 'bayaran tambahan bawah meja' untuk memikat pemain ketika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengehadkan gaji maksimum RM8,000 sebulan sebelum ini. Itulah bola sepak profesional Malaysia. Selagi tiada pegawai profesional menguruskan aliran wang tahunan dengan mengambil kira tajaan dan pendapatan lain, selagi itulah masalah seperti ini akan kita dengar. Apa lagi dengan sikap mahukan kerajaan negeri menghulur bantuan setiap kali tersepit. Bagi penulis, masalah kali ini nampak sudah serius apabila bekas Timbalan Presiden FAM sendiri, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut mencadangkan Liga Malaysia kembali ke era Semi Pro sebagai langkah drastik menyelamatkan bola sepak negara.
Apa tidaknya, semakin jelas kini persatuan negeri tidak mampu menanggung kos menguruskan pasukan dan dengan kembali ke era Semi Pro, yang diperkenalkan pada 1989, pemain masih punya majikan lain untuk membayar gaji bulanan. Kenyataan Tengku Abdullah itu hadir kira-kira 14 bulan selepas ayahandanya, Sultan Ahmad Shah yang juga Presiden FAM, bertegas bola sepak Malaysia tidak akan berundur ke era Semi Pro selepas timbul cadangan sebegitu.
Bagi penulis, apa sahaja perubahan tidak akan ke mana selagi mentaliti pegawai persatuan negeri masih di takuk lama.
Sudah masanya persatuan negeri mewujudkan cabang komersial atau anak syarikat, untuk mencari peluang menjana kewangan yang turut berperanan menguruskan pasukan negeri. Dengan adanya cabang komersial diuruskan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), persatuan negeri boleh melepaskan tanggungjawab kepadanya untuk mencari penaja serta mendapatkan pemain, pastinya dengan persetujuan jurulatih, mengikut peruntukan yang ada.
Tapi persatuan negeri harus serius dengan cara begini, dan bukannya sekadar melantik CEO yang bekerja mengikut cara lama yang tetap menyandarkan kepada penaja sedia ada dan kerajaan negeri. Sebaliknya, CEO dilantik harus orang yang sanggup meneroka ruang dan peluang baru dalam memperkukuhkan sumber kewangan syarikat.
Bola sepak negara memerlukan pendekatan baru bukan saja kepada skuad negara tetapi juga persatuan negeri dalam mengembalikan kegemilangan sukan itu. Cara lapuk dengan pegawai berjiwa amatur yang bertopengkan tugas sukarela sudah ketinggalan zaman. Sikap mahu duduk di kerusi persatuan negeri semata-mata untuk dapat anugerah daripada kerajaan negeri, tanpa ada idea membangunkan bola sepak, hanya akan memberi kesan buruk kepada sukan itu. Jangan salahkan pemain sahaja apabila mengaitkan isu kejatuhan bola sepak negara tapi pegawai yang ada, sama ada di FAM mahupun di persatuan negeri wajar turut mencerminkan diri dan sama-sama harus berani bertanggungjawab.
servis kete
1 week ago
No comments:
Post a Comment